novel baru yg masih tak bertajuk...
enjoy reading
Bab 1
Siapa kata setiap perhubungan cinta suka sama suka akan berakhir ke jinjang pelamin. Siapa cakap kalau dah berjanji setia pasti akan bahagia hingga ke hujung nyawa. Jika sudah tertulis di loh mahfuz yang jodoh kita bukan dengan insan itu maka bagaimana sekalipun dipaksa ia tetap takkan berhasil. Itu yang dia belajar dari perhubungan yang telah terputus.
Maisara merenung kosong ke langit malam yang kelam. Tiada bulan mahupun bintang didada langit malam ini. Seolah-olah turut sama bersedih dengan kehilangan yang dirasainya, membuatkan hati terasa makin sayu. Angin malam yang sejuk menyapa tubuh benar-benar membuatkan hati makin sedih dan pilu.
Perhubungan yang masuk ke tahun ke empat akhirnya putus juga, walaupun puas mereka mempertahankannya. Dalam sedih yang merantai jiwa dia terpaksa belajar menerima kenyataan yang dia sudah kehilangan kasih-sayang Nizam. Insan yang sangat disayangi itu sudah selamat menjadi suami orang lain semalam. Dari jauh dia memandang lelaki itu segak dalam persalinan pengantin dipelamin indah.
Majlis persandingan siang tadi tidak mampu dihadiri dari jarak dekat walaupun pada awalnya dia sudah menanam azam yang sangat kuat untuk mengucapkan tahniah pada bekas kekasih tersayang. Rupanya dia masih belum kuat untuk melihat insan tersayang bersanding dengan insan lain. Dalam redha masih ada rasa terkilan dengan keputusan yang dibuat Nizam. Akhirnya pelamin angannya bersama Nizam musah.
Hanya kerana keluarga, hubungan bertahun hilang maknanya. Sungguh dari dahulu dia tahu yang Nizam sangat sayangkan keluarga tapi langsung tidak menyangka ini kesudahan mereka. Jadi bila ibunya melarang hubungan mereka, dengan mudah Nizam meninggalkan dia terkapar-kapar sendirian mencari kekuatan untuk meneruskan hidup yang dahulu diserahkan sepenuhnya pada lelaki itu untuk membentuknya.
Sudah kering airmata menangisi kehilangan Nizam. Lalu malam ini dia lebih senang duduk merenung langit malam tanpa apa-apa yang bermain dalam fikiran. Belajar melupakan insan bernama lelaki dalam hidupnya selama ini. Mahu membina hidup baru yang pastinya bukan sesuatu yang mudah.
“Angah, mak suruh masuk dalam rumah” Melissa sudah menjerit dari pintu rumah pada Maisara yang duduk dibawah pohon rambutan. Malas untuk menapak ke sana, bimbang iklan yang sedang disiarkan akan berakhir dan dia terlepas rancangan yang sedang ditonton.
“Nanti Angah masuk. Lisa masuk la dulu” Dalam serak dia menjawab jugak. Takut kalau Melissa melangkah ke sini. Makin panjang pula syarahan tak bertauliah yang perlu dia dengar jika Melissa nampak dia masih menangisi lagi kehilangan Nizam dalam hidup. Budak sekolah menengah tu mana tahu erti kehilangan dalam hidup, yang dia tahu asyik bersuka ria dengan kawan-kawan dan hero-hero kacak di TV.
“Iyelah, tapi jangan duduk lama sangat kat luar ni. Macam-macam boleh lalu depan Angah nanti” usik Melissa.
“Merapu je”
“Betul apa. Rumah kita depan jalan, banyak yang lalu dekat jalan tu. Silap-silap Jidon gila tu pun boleh lalu depan ni” sengaja Melissa kuatkan nama lelaki yang kurang siuman itu pada Sara. Tahu yang kakaknya memang kurang berani bila bertembung dengan lelaki itu.
“Pergi masuk. Jangan duduk merapu dekat sini, mengganggu ketenangan orang nak rehatkan minda saja dengar suara Lisa yang tak merdu mana tu” Melissa buat tak dengar, langsung tak kisah dengan kutukan kakaknya. Dah biasa sangat dengan ayat-ayat begitu membuatkan dia tak lagi terasa hati, malah dengan cara ini hubungan mereka adik-beradik lebih erat.
“Jangan lupa. Masuk cepat, jangan nak layan blues sangatlah. Takat abang Nizam yang tak kacak mana tu banyak lagi yang boleh dibuat calonlah, sekali petik berpuluh yang sanggup nak jadi calon la” dengan selambanya Melissa mengutuk bekas kekasih hatinya. Memang Melissa sangat mengenali Nizam sebab setiap kali keluar memang dia akan bawa Melissa bersama.
“Pergi masuklah, memekak betul” marah Maisara, tak suka bila adik sendiri mengutuk pilihannya. Memanglah Nizam tu tak sekacak mana tapi nak buat macammana kalau hati dah suka. Bak kata orang, masa bercinta bunga taik ayam pun bau wangi. Jadi jangan pertikaikan kenapa dia boleh jatuh cinta dengan Nizam. Sebab dia sendiri pun tak pernah ada sebab yang kukuh kenapa dia boleh bersama Nizam hampir empat tahun.
Maka bukan salahnya andai terasa kehilangan teman yang sudah terlalu lama berada disampingnya. Orang yang kita benci pun susah untuk dilupakan inikan lagi tempat kita berkasih sayang.
Dia mula mengangkat kaki dari pelantar bila terasa malam semakin larut. Keadaan makin sunyi bila hanya sesekali kenderaan melepasi kawasan rumah mereka. Memang waktu-waktu malam begini tidak banyak aktiviti didalam kampung. Semua lebih selesa berehat didalam rumah disamping keluarga.
Baju kurung pemberian Nizam direnung lama. Tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan pemberian itu. selama ini memang dia suka dengan baju itu dan sangat disayangi tapi bila sudah terputus hubungan antara mereka rasa tidak sesuai pula untuk memakainya lagi. Tapi untuk membuangnya pun dia tak sanggup.
“Tengok apa lagi tu angah? Buang ajelah, simpan pun tak guna la” Melissa dah berdiri dibelakang kakaknya. Memang tak puas betul dengan perangai Sara yang susah sangat nak buang semua kenangan dengan Nizam. Dah orang tak nak buat apa lagi nak berharap. Hidup kena teruskan walaupun pahit.
“Sayang nak buang, baju ni elok lagi”
“Habis tu takkan simpan kot. Nanti angah juga yang meroyan teringat kenangan lama. Satu masalah pula” marah Melissa bila Sara masih lagi teragak-agak untuk membuang barangan yang berkaitan dengan lelaki itu. Entah apa yang hendak disayangkan sangat pun dia tak faham. Nak kata mahal sangat hadiah dari lelaki itu, memang taklah.
“Kalau angah bagi dekat orang nampak jahat sangat tak?”
“Tak jahat mana pun, adik suka je kalau angah nak sedekahkan. Kurang-kurang tak adalah jadi pembaziran dari kita buang dalam tong sampah”
Senang hati Sara mendengar persetujuan dari Melissa. Memang dia tak sampai hati nak buang pemberian orang, jadi lebih baik disedekahkan pada yang lebih memerlukan.
“Kalau macam tu, jom kumpul semua baju yang dah tak dipakai. Boleh juga sedekahkan pada orang. Yang betul-betul buruk nanti bagi mak buat kain buruk” dengan gembiranya Sara membuka almari. Mencari pakaian yang sudah tidak dipakai. Taklah rasa ralat sangat bila ada pakaian lain yang mengiringi pemberian Nizam.
“Angah ni, Lisa malaslah nak punggah almari tu. Nanti-nantilah kita buat” memang Melissa tak setuju dengan cadangan Sara, sekarang waktu rancangan kegemarannya disiarkan di TV. Mana boleh nak buat kerja lain, hilang fokus dan kurang ikhlas jadinya nanti.
“Habis tu, angah bosan ni. Nak buat apa ni?”
“Apa kata angah pergi chat, sekarang ni banyak je laman sosial yang boleh cari kenalan baru seluruh dunia” cadang Melissa. Asalkan Sara tak menggangu waktu menontonnya.
“Angah mana reti semua benda tu”
Dalam terpaksa Melissa menghampiri komputer didalam biliknya, menghidupkan pekakasan elektronik itu dan mengajar kakaknya untuk menggunakan laman bual yang ada.
“Dalam ni ada list kawan-kawan Lisa, angah sembanglah dengan dia orang. Kalau nak cari kawan baru, angah klik dekat sini” ajar Melissa. Memang Sara bijak dalam pelajaran tapi kalau bab laman sosial memang dia sangat ketinggalan.
“Selamat bersembang dan jangan kacau Lisa”
Abs Trimmer TAK BOLEH bakar lemak!
6 days ago
0 comments:
Post a Comment